ANUGERAH Merdeka Award Trust (MAT) telah menganjurkan Merdeka Award Talk Series yang kedua pada Khamis bertempat di Galeri Petronas, Suria KLCC, di ibu kota.

MAT ditubuhkan untuk memberi pengiktirafan kepada individu serta organisasi cemerlang yang menyumbang kepada pertumbuhan negara melalui hasil kerja dan pencapaian mereka yang luar biasa.

Ketua MAT, Nadia Shaik Mohamed Izuddin berkata, Anugerah Merdeka memainkan peranan penting dalam mengangkat budaya cemerlang dan menjulang rakyat Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Anugerah Merdeka adalah untuk memupuk budaya cemerlang.

“Apa yang dimaksudkan dengan itu ialah kami mahu memberi inspirasi kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk melakukan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Merdeka Award Talk Series kali ini mengangkat perbincangan bertemakan "Unleash Your Awesomeness: Overcoming Challenges, Emerging As Winners" yang menampilkan bekas pemain skuasy dunia terkemuka Datuk Nicol David dan Shairan Huzani Husain ataupun Pak Cik Shell sebagai penceramah.



“Mereka (Datuk Nicol David dan Shairan Huzani Husain) adalah pemimpin yang mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi dalam diri mereka dan itulah sebenarnya erti Anugerah Merdeka.

“Apa yang kami cari ialah orang yang melambangkan semangat, minat, keazaman dan itulah kualiti yang ingin kami inspirasikan dalam lebih ramai rakyat Malaysia,” kata Nadia.

Lebih 100 tetamu dari pelbagai latar belakang hadir memeriahkan perbincangan dan antaranya ialah peserta Axiata Young CEO Development Programme (YCDP), pengasas bersama Undi18, termasuklah pelajar dari Universiti Malaya.

Episod pertama Merdeka Award Talk Series sebelum ini menampilkan Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman dan Samuel Isaiah sebagai penceramah, dan Astro AWANI selaku rakan media.

Ditubuhkan oleh Petronas dan Shell, MAT menawarkan dua program, iaitu Anugerah Merdeka yang telah dipelopori sejak tahun 2008 dan Geran Anugerah Merdeka bagi Penempatan Antarabangsa.

MAT merupakan antara salah satu anugerah paling berprestij di Malaysia yang memberi penghormatan kepada kerja-kerja dan pencapaian yang cemerlang dalam enam kategori seperti Pendidikan dan Komuniti, Alam Sekitar, Kesihatan, Sains dan Teknologi serta Pencapaian Luar Biasa Rakyat Malaysia.

Untuk mencalonkan mana-mana individu atau organisasi yang berkelayakan dalam menerima Anugerah Merdeka, layari laman web www.merdekaaward.my.